Saturday 8 June 2013

ISRA' DAN MIKRAJ : 1001 MESEJ BUAT UMMAH


 Isra' membawa pengertian perjalan nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki Burak bermula dari masji al-Haram di Mekah ke masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis
Mikraj membawa maksud naiknya nabi s.a.w ke langit dari masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.  


Peristiwa isra' dan mikraj merupakan sebuah peristiwa unik yang mencabar keimanan seseorang khususnya dalam kerja-kerja dakwah mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah. Dalam kitab sirah tulisan Ibnu Hisham mahupun Ibnu Ishak, antara lain kedua-duanya bersetuju bahawa peristiwa israk dan mikraj ini dilatari dan didahului dengan sekurang-kurangnya tiga peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah S.A.W.; iaitu :
  1. Kematian isteri baginda S.A.W. iaitu Saidatina Khadijah R.A. yang banyak membantu baginda dalam gerak kerja dakwah beliau.
  2. Selepas itu, baginda kehilangan bapa saudaranya pula, iaitu Abu Talib yang banyak membela kehidupan dunianya. Lebih menyayat hati lagi, bapa saudaranya mati dalam keadaan tidak sempat beriman kepada Allah S.W.T.
  3. Setelah itu, baginda berhijrah ke Ta'if. Namun, apa yang baginda hadapi disana tidaklah seindah yang diharapkan apabila dakwah baginda bukan sahaja ditolak, bahkan tubuh baginda S.A.W. turut dilukai dan disakiti.
Peristiwa Isra' dan mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah.
Anugerah daripada Allah yang berupa pengembaraan Israk dan mikraj ini bertujuan antara lainnya sebagai pengubat rohani dan emosi serta meringankan bebanan akibat tekanan yang dihadapi oleh Baginda s.a.w. Kalau di bumi Baginda s.a.w dengan misi dakwah menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan hari akhirat dilayan dengan penghinaan dan cacian, berlainan pula sambutan yang diberi oleh para rasul terdahulu bahkan para malaikat di alam langit yang menyambut kedatangan Baginda s.a.w dengan penuh mesra, penuh penghormatan dan kemuliaan. 
Peristiwa agong ini berlaku dalam dua fasal pengembaraan, yang pertama pengembaraan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Suatu perjalanan darat yang sangat jauh jika diukur secara hitungan jarak perjalanan. Pengembaraan yang melepasi lembah dan gunung Tursina (senai) tempat berlakunya dialog antara nabi musa as dengan Allah SWT serta tempat kelahiran nabi Isa a.s di Baitulaham. Manakala fasa kedua pula bermula dari Masjid al-Aqsa ke langit melalui langit pertama, kedua, ketiga dan seterusnya ke baitul makmur tempat para malaikat dan berakhir di sidratul muntaha.

 Ketika di Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) Baginda s.a.w disambut oleh semua para Rasul dan Nabi yang terdahulu dimana Baginda telah dilantik untuk menjadi imam solat. Ini merupakan suatu simbolik penyerahan kuasa dunia kepada kepimpinan Muhammad s.a.w, perpindahan risalah dari kaum Bani Israil kepada Bani Ismail atau ummat Muhammad s.a.w dan perpindahan kiblah dari kota Baitul Madis ke Baitullah di Makkah. Kembara Mikraj seterusnya Baginda dibawa ke
alam barzakh dimana Baginda dapat menyaksikan berbagai peristiwa di padang Mahsyar hingga ke distinasi terakhir manusia iaitu menerima balasan dari Allah samada menjadi ahli syurga mahupun ahli neraka. 
Tentunya kepayahan Baginda s.a.w untuk meyakinkan pengikutnya tentang iman kepada Allah dan hari akhirat terubat dengan melihat peristiwa alam ghaib ini. Perkara yang hanya dapat didengar dari ayat-ayat Allah semasa didunia, tetapi ia suatu yang nyata kebenarannya di hari pembalasan. Semuanya di lihat dengan “ainul yaqin” oleh Rasulullah untuk dikhabarkan kepada ummatnya. Kembara Mikraj berakhir dengan penuh hikmah dan barakah menuju kesempurnaan “karamatul Insaniah” apabila Allah SWT menganugerahkan solat 5 waktu sebagai kurniaan kepada Baginda s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh ummatnya.
Sesungguhnya peristiwa israk dan Mikraj memberitahu kita pelbagai bentuk pendidikan dan pengajaran berharga, antaranya;
  1. Pengakuan beriman kepada Allah dan hari akhirat perlu dicapai oleh setiap orang hingga ketahap keyakinan yang tinggi dengan merujuk kepada ayat al-Quran dan Hadis yang muktabar. Iman bukan diperolehi dengan angan-angan, bukan suatu ilusi dan khayalan, tetapi kebenaran yang hanya dapat di garap dengan ilmu, amal dan kesabaran.
  2. Mengajak manusia kejalan Allah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dengan penuh kesabaran dan istiqamah mempunyai nilai yang sangat tinggi disisi Allah SWT.
  3. Solat 5 waktu adalah anugerah dari Allah dan merupakan suatu penghormatan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada umatnya. Menunaikan solat 5 waktu adalah merupakan suatu kejayaan dalam kehidupan didunia dan mendapat ganjaran yang baik dihari akhirat. Pelaksanannya perlu bergantung kepada kekuatan iman dan keyakinan kepada Allah dan Hari pembalasan seperti yang ditentukan oleh Allah SWT.
 Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal......Wallahu'alam

0 comments:

Post a Comment