‘Abang juga hendak pergi?’ perlahan, soal si isteri.
‘Ya, abang juga mahu pergi. Doakan semuanya selamat,’ tenang
dan bersahaja jawab si suami.
Paluan gendang bertalu-talu, semboyan sahut-menyahut, kuda
berlari-lari, puluhan malah ratusan sateria dan pendekar keluar dari seluruh
pelusuk kota pergi ke medan pertempuran.
Mungkin ini dialognya. Mungkin ini suasananya.
Namun, keluar daripada kumungkinan-kemungkinan ini, ada satu
kepastian. Ini kisah tentang Hanzalah. Berada dalam satu taifah yang
sebaik-baik taifah.
Sepanjang pengkajian dan pembacaan, hanya ini sahaja kisah
tentang Hanzalah. Jika sesiapa memiliki kisah-kisah lain, mohon dikongsikan.
Tiada masalah.
Pasti ramai sudah mengetahui kisah epik lelaki yang pergi ke
medan perang ini. Mungkin juga akan ada yang mengatakan, ia terlalu klise.
Kerana sudah terlalu biasa barangkali. Manakan tidak, jika sejak daripada kecil
sudah disajikan kisah si Hanzalah. Berulang, dan berulang, dan terus berulang. Lalu
pudar keindahan dan serinya. Bahaya penyakit ini, seakan-akan kita sendiri
memadamkan cahaya penyelamat daripada Ilahi. Rawat semoleknya.
Tentang Hanzalah, secara ringkas, dia bangkit daripada tidur
seusai malam pertama, mendengar paluan jihad, lalu bergegas menuju ke medan
pertempuran, dan langsung dijemput Allah kembali menghadapNya. Dia gugur,
umpama luruhnya daun-daun pokok di Hyde Park apabila sampai musim. Bukan luruh
yang sumbing, namun sebagai syahadah kepada keteguhan janji buat Penciptanya,
Allah yang Maha Esa.
Mengapakah sehingga kini, kisah Hanzalah masih menjadi
sebutan? Sedangkan, dia hidup, tidak lama, dan kisah tentangnya, juga tidak
banyak.
Ramai lagi manusia dalam dunia ini, namun mengapa tidak
semua kita ketahui kisahnya? Mungkin kerana terlalu ramai manusia dengan
populasi yang kian meningkat, menyebabkan memang tidak wajar untuk setiap
hikayat sampai kepada kita.
Bukan itu noktahnya. Maaf.
Peninggalan besar Hanzalah buat kita adalah tentang satu
prinsip yang dia lakukan. Prinsip yang menjadi bukti akan ketundukan nafsu
kepada diri sendiri. Roh iman yang mengalir dalam pembuluh darahnya menafikan
diri untuk duduk bersahaja. Roh iman ini yang menolaknya untuk bergegas dan
berkorban ke gelanggang pertempuran. Ya, roh iman tersebut.
Roh iman yang sama menyebabkan Mashitah terjun ke dalam
unggun api. Roh iman yang sama menyebabkan pemuda-pemuda tanpa nama tersebut
menyorok di dalam gua daripada raja yang berbeza akidahnya. Roh iman yang sama
juga menyebabkan anak-anak Gaza masih berdiri berhadapan soldadu Yahudi.
Ketinggian roh iman hasil daripada adunan pekatnya kefahaman
akan rupa paras Islam, ditambah dengan hakikat bersih dan putih kesufian yang
mengangkat jiwa melayang tinggi dan bebas daripada penjara duniawi, dalam
laluan sunnah sejati, dan dipacu gagah dengan gema seruan dakwah yang cukup
turun ke bumi. Ini yang menyebabkan Hanzalah bingkas bangun bergegas menyahut
seruan.
Terus, persoalan bermain di minda. Bertanya kepada diri
sendiri, masih adakah Hanzalah dalam abad ini?
Manusia dengan roh iman sebegini yang dicari. Sama ada
sebagai anggota kepada sebuah Negara, ibu atau bapa kepada sebuah keluarga,
atau sebagai pemimpin kepada sebuah nusa yang berdaulat dan tercinta.
Benar, Hanzalah mungkin sudah beradab lamanya pergi, namun
ketinggian roh iman tidak pernah mati. Prinsip ini akan terus diwarisi kerana
taifah yang menjunjung tinggi syariat Ilahi, tidak pernah hapus dari muka bumi
ini. Tidak akan ada sesuatu yang mampu melukakan mereka melainkan apa yang
telah ditentukan Tuhannya.
Manusia sebegini yang dicari atau boleh juga dikatakan
demikian kita ini harus jadi. Sama ada sebagai seorang anggota masyarakat biasa
atau pemimpin yang terulung, perlu sarat dengan roh iman beserta nilai-nilainya.
Memiliki kewarasan Islam yang utuh malahan ampuh. Golongan sebegini yang tidak
akan memperjudikan masa hadapan agama sendiri
[ baca : Islam ].
Legasi itu, bukan dibina dan diisi oleh tangan-tangan
kosong. Manusia semekar Hanzalah amat didambakan. Juga manusia yang semekar
suri Hanzalah. Merelakan suami pergi mengotakan janji kepada Ilahi.
Semoga legasi Islam terus wujud dan dikekalkan kewujudannya
dengan manusia umpama Hanzalah, sebelum, semasa, dan selepas PRU-13 nanti.
( Artikel ini diambil daripada blog ex-badar sdar, AD SATIMAN (timbalan presiden BADAR 2008))