Friday 1 March 2013

Abang Juga Hendak Pergi


‘Abang juga hendak pergi?’ perlahan, soal si isteri.
‘Ya, abang juga mahu pergi. Doakan semuanya selamat,’ tenang dan bersahaja jawab si suami.
Paluan gendang bertalu-talu, semboyan sahut-menyahut, kuda berlari-lari, puluhan malah ratusan sateria dan pendekar keluar dari seluruh pelusuk kota pergi ke medan pertempuran.
Mungkin ini dialognya. Mungkin ini suasananya. 
Namun, keluar daripada kumungkinan-kemungkinan ini, ada satu kepastian. Ini kisah tentang Hanzalah. Berada dalam satu taifah yang sebaik-baik taifah.
Sepanjang pengkajian dan pembacaan, hanya ini sahaja kisah tentang Hanzalah. Jika sesiapa memiliki kisah-kisah lain, mohon dikongsikan. Tiada masalah.
Pasti ramai sudah mengetahui kisah epik lelaki yang pergi ke medan perang ini. Mungkin juga akan ada yang mengatakan, ia terlalu klise. Kerana sudah terlalu biasa barangkali. Manakan tidak, jika sejak daripada kecil sudah disajikan kisah si Hanzalah. Berulang, dan berulang, dan terus berulang. Lalu pudar keindahan dan serinya. Bahaya penyakit ini, seakan-akan kita sendiri memadamkan cahaya penyelamat daripada Ilahi. Rawat semoleknya.
Tentang Hanzalah, secara ringkas, dia bangkit daripada tidur seusai malam pertama, mendengar paluan jihad, lalu bergegas menuju ke medan pertempuran, dan langsung dijemput Allah kembali menghadapNya. Dia gugur, umpama luruhnya daun-daun pokok di Hyde Park apabila sampai musim. Bukan luruh yang sumbing, namun sebagai syahadah kepada keteguhan janji buat Penciptanya, Allah yang Maha Esa.
Mengapakah sehingga kini, kisah Hanzalah masih menjadi sebutan? Sedangkan, dia hidup, tidak lama, dan kisah tentangnya, juga tidak banyak.
Ramai lagi manusia dalam dunia ini, namun mengapa tidak semua kita ketahui kisahnya? Mungkin kerana terlalu ramai manusia dengan populasi yang kian meningkat, menyebabkan memang tidak wajar untuk setiap hikayat sampai kepada kita.
Bukan itu noktahnya. Maaf.
Peninggalan besar Hanzalah buat kita adalah tentang satu prinsip yang dia lakukan. Prinsip yang menjadi bukti akan ketundukan nafsu kepada diri sendiri. Roh iman yang mengalir dalam pembuluh darahnya menafikan diri untuk duduk bersahaja. Roh iman ini yang menolaknya untuk bergegas dan berkorban ke gelanggang pertempuran. Ya, roh iman tersebut.
Roh iman yang sama menyebabkan Mashitah terjun ke dalam unggun api. Roh iman yang sama menyebabkan pemuda-pemuda tanpa nama tersebut menyorok di dalam gua daripada raja yang berbeza akidahnya. Roh iman yang sama juga menyebabkan anak-anak Gaza masih berdiri berhadapan soldadu Yahudi.
Ketinggian roh iman hasil daripada adunan pekatnya kefahaman akan rupa paras Islam, ditambah dengan hakikat bersih dan putih kesufian yang mengangkat jiwa melayang tinggi dan bebas daripada penjara duniawi, dalam laluan sunnah sejati, dan dipacu gagah dengan gema seruan dakwah yang cukup turun ke bumi. Ini yang menyebabkan Hanzalah bingkas bangun bergegas menyahut seruan.
Terus, persoalan bermain di minda. Bertanya kepada diri sendiri, masih adakah Hanzalah dalam abad ini?
Manusia dengan roh iman sebegini yang dicari. Sama ada sebagai anggota kepada sebuah Negara, ibu atau bapa kepada sebuah keluarga, atau sebagai pemimpin kepada sebuah nusa yang berdaulat dan tercinta.
Benar, Hanzalah mungkin sudah beradab lamanya pergi, namun ketinggian roh iman tidak pernah mati. Prinsip ini akan terus diwarisi kerana taifah yang menjunjung tinggi syariat Ilahi, tidak pernah hapus dari muka bumi ini. Tidak akan ada sesuatu yang mampu melukakan mereka melainkan apa yang telah ditentukan Tuhannya.
Manusia sebegini yang dicari atau boleh juga dikatakan demikian kita ini harus jadi. Sama ada sebagai seorang anggota masyarakat biasa atau pemimpin yang terulung, perlu sarat dengan roh iman beserta nilai-nilainya. Memiliki kewarasan Islam yang utuh malahan ampuh. Golongan sebegini yang tidak akan memperjudikan masa hadapan agama sendiri 
[ baca : Islam ].
Legasi itu, bukan dibina dan diisi oleh tangan-tangan kosong. Manusia semekar Hanzalah amat didambakan. Juga manusia yang semekar suri Hanzalah. Merelakan suami pergi mengotakan janji kepada Ilahi.
Semoga legasi Islam terus wujud dan dikekalkan kewujudannya dengan manusia umpama Hanzalah, sebelum, semasa, dan selepas PRU-13 nanti.
 ( Artikel ini diambil daripada blog ex-badar sdar, AD SATIMAN (timbalan presiden BADAR 2008))

0 comments:

Post a Comment